SEJARAH KAMPUNG MAKAM KOTA TINGGI
KISAH SULTAN MAHMUD MANGKAT DIJULANG
Mengikut kitab hikayat Tuhfat al-Nafis, cerita ini berlaku apabila Laksamana Bentan (dikenali Bintan pada hari ini), iaitu Megat Seri Rama, telah berperang untuk menumpaskan lanun di perairan Johor atas perintah Sultan Mahmud Shah II.
Pada suatu hari, isteri Megat Seri Rama yang sedang mengandung, Dang Anum telah bertemu dengan penghulu kebun Sultan yang sedang membawa nangka untuk dipersembahkan kepada Sultan. Dang Anum kemudian telah meminta seulas nangka kerana dia mengidam. Penghulu kemudiannya memotong seulas lalu diberikan kepada Dang Anum. Ketika Sultan Mahmud Shah hendak bersantap tengah hari, baginda menyedari bahawa nangka yang hendak disantapnya telah diusik orang. Sultan Mahmud amat murka kerana dihidangkan dengan sisa orang dan memerintahkan Dang Anum ditangkap dan dibelah perutnya menyebabkan kematian isteri Laksamana.
Beberapa hari kemudian, Laksamana telah kembali ke Kota Tinggi dengan membawa kejayaan cemerlang bagi angkatan tentera Johor. Selepas sultan memberi anugerah kepada Laksamana, Megat pun balik ke rumahnya dan mendapat khabar buruk daripada Tun Aman yang mengatakan bahawa isterinya telah mati. Laksamana merasa marah, kecewa dan menangis apabila mengetahui isterinya telah mati. Megat Seri Rama kemudiannya berazam untuk membalas dendam kepada sultan kerana bagindalah yang memerintahkan supaya isteri kesayangannya dibunuh.
Pada suatu hari Jumaat, Sultan Mahmud Shah bersama pembesar telah berangkat ke masjid untuk bersembahyang. Sultan telah ditandu oleh pengawal-pengawal istana. Ketika azan pertama berkumandang di udara, Sultan Mahmud terkejut melihat Laksamana berdiri sambil menghalang lalu lintas baginda. Laksamana berkata "Raja adil raja disembah! Raja zalim raja disanggah!". Sepantas kilat, laksamana terus menikam Sultan dengan kasarnya. Suasana di perkarangan masjid gempar apabila darah sultan yang berdaulat telah mengalir ke tanah! Semua jemaah terpaku. Sultan tidak berputus asa lalu menyentap sebilah keris yang tersisip di pinggangnya lalu dilontarkan di kaki laksamana. Sultan terus bertitah "Tujuh keturunan laksamana tidak boleh menjejakkan kaki ke Kota Tinggi....cipet punye orang!" Beberapa minit kemudian, baginda menghembuskan nafas yang terakhir. Megat yang tiba-tiba memuntahkan darah pula mati secara tiba-tiba.
LATAR BELAKANG SULTAN MAHMUD
Sultan Mahmud Shah II keturunan sultan Melaka ditabalkan menjadi sultan ketika berumur 10 tahun. Urusan pentadbiran dijalankan olehBendahara. Pusat pemerintahan berada di Kota Tinggi dan Johor Lama dijadikan istana hinggap. Di sinilah Temenggung menjaga Kota Johor Lama. Sultan Mahmud Shah II dikaitkan dengan kezaliman dan menimbulkan pergolakan dalam negeri. Pada tahun 1697, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid meninggal dunia dan disebut "Marhum Padang Saujana". Pada 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat pada usia 24 tahun, dipercayai ditikam oleh Laksamana Bentan dan disebut sebagai "Marhum Mangkat Di Julang" atau "Marhum Kota Tinggi".
SEJARAH KAMPUNG JOHOR LAMA KOTA TINGGI.